Tuesday, 19 May 2015

Road to Masterpiece: Chapter 1 (Part1)


Hujan turun dengan lebat. Jam menunjukkan 9.45 malam. Iman tidak jemu memandang jam pada dinding Kelas 6 Bestari itu lalu mengalihkan pula pandangannya ke jam yang cantik berada di tangannya. Mawaddah yang dari tadi asyik memerhatikan gelagat Iman terus menyerang Iman dengan soalan yang menimbulkan rasa kurang selesa dalam dirinya. 

“Kau kenapa Man? Resah je aku tengok kau ni. Dari tadi asyik tengok jam. Dah tak sabar nak balik ke?”

“Yela, Adah. Mana aku tak resah. Aku ngantuk sangat ni. Atuk aku mesti dah sampai dah. Aku tak sabar nak balik. Nak tidur. Penat la latihan bola baling tadi.”

“Sabar la. Lagi sikit je lagi nak habis perbincangan Sains ni. Kejap lagi habis la ni.”

Iman sudah tidak sabar untuk menamatkan kelas tambahan Sains kerana penat sudah menghasut dirinya untuk kembali kepada katilnya untuk belayar di lautan mimpi. Tepat jam 10.05 malam, Puan Zaleha membenarkan pelajarnya bersurai. Iman mengatur langkah dan menghilangkan diri bagaikan ‘pelesit’ dan terus mendapatkan datuknya yang setia menunggu Iman hampir setiap malam setiap kali Iman menghadiri kelas malam. Iman begitu rapat dengan datuknya. Sejak Iman kecil, rumah datuk dan neneknya bagaikan rumahnya sendiri. 

Iman seperti biasa melalui kaki lima bersebelahan dengan makmal Sains. Kaki lima itu agak licin disebabkan hujan yang masih menangis. Kali ini semakin rancak. Matanya meliar mencari sosok datuknya. 

“Hah! Itu pun Akie!” detik hatinya. Dia sudah tidak sabar ingin pulang ke rumah. Homework? Ahh! Baginya, rehat itu lebih utama pada waktu itu. Iman terus membuka langkah seribu hatta dirinya sedar akan kecelakaan yang mungkin berlaku sekiranya dia melakukan kecuaian dalam cuaca yang tidak mengizinkan seperti itu. Tiba-tiba, dia tergelincir di kaki lima yang licin lalu tangannya terhentak di longkang. 

“Adoi! Sakitnya!”, Iman mengaduh. Dia sedar kesilapannya. Namun, nasi sudah menjadi bubur. Kalaulah dia lebih berhati-hati. Mawaddah yang kebetulan lalu di situ, segera mendapatkan Iman dan segera memanggil Akie. Datuknya segera mendapatkan cucu kesayangannya itu dan membawanya ke kereta dengan payung tua yang di bukanya sewaktu menunggu. 

Di dalam kereta, Iman terasa seperti hendak pengsan. Dia mula berfikir yang bukan-bukan. Fikirnya, bahawa lengannya itu patah. Dia mula sedih kerana mengenangkan nasibnya selepas ini yang tidak dapat meneruskan sukan kegemarannya lagi kerana kaki dan tangannya merupakan aset penting untuknya meneruskan minatnya terhadap sukan kegemarannya. 

Setibanya di rumah Iman, Haji Ishak menceritakan kejadian tadi kepada anaknya, Puan Zahara yang lebih mesra dengan panggilan Mama Zara. Iman sudah mula mengagak ‘puting beliung’ kecil bakal melanda rumahnya sebentar lagi. Iman seperti biasa meminta datuknya menyapukan minyak ke lengan yang sakit tadi kerana bimbang Mama akan mengasarinya. Iman selalu akan bertukar kepada karakter yang lebih manja dan keanak-anakan apabila dia bersama datuk dan neneknya. Mama Zara memandang Iman dari hujung anak mata dengan pandangan tajam kerana fikirnya, anaknya Iman sudah menyusahkan ayahnya. Hari sudah lewat malam. Datuknya meminta diri untuk beredar. 

“Alaa. Akie dah nak balik ke? Tunggu la Iman tidur dulu.” Iman sedang mencari jalan supaya angin berang ibunya tidak meletus. 

“Tak boleh la Iman. Akie kena balik. Dah lewat ni. Lagipun, hujan-hujan ni. Risau pulak Mak Tok kamu tu tinggal sorang.”

“Hmm. Baiklah. Hati-hati tau Akie bawa kereta. Assalamu’alaikum.”

Iman dan ibunya menyalami tangan Haji Ishak. Begitulah rutin Iman setiap kali pulang dari kelas tambahan waktu malamnya. Pagi, tepat jam 7.00 datuknya sudah terpacak di perkarangan rumahnya kerana ingin menjemputnya ke sekolah. 

“Tangan kamu macam mana? Sakit lagi?” Akie bertanya setelah melihat Iman mengurut-urut lengannya akibat jatuh semalam. 

“Sakit lagi Akie. Tak apa lah. Nanti okaylah ni. Iman kan kuat!” sambil mengangkat lengannya dan membuat gaya seperti body-builder. Hilai tawa menembusi hening pagi di dalam kereta. Pacuan empat roda milik Haji Ishak meluncur laju di sebalik kesibukan jalan raya di pagi hari. 

*************************************

Peperiksaan percubaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sudah hampir. Semua pelajar gelisah kerana persiapan untuk peperiksaan yang dibuat tidaklah begitu sempurna. Iman dan rakan-rakannya seperti biasa dengan rutin harian mereka iaitu bermain ‘tudung botol’. Pernah sesekali mereka ditegur oleh guru-guru memandangkan mereka memegang jawatan dan harapan sekolah. Malah, mereka berlima adalah perempuan. Tidak manis jika dipandang anak dara bermain permainan kanak-kanak lelaki. Namun, nasihat itu bagai mencurah air ke daun keladi. Sedikit pun tidak diendahkan oleh mereka asalkan penat lelah mereka terhadap tekanan belajar dengan mengeluarkan peluh sedikit. Bagi mereka, tidak mengapa jika itu baik untuk kesihatan kerana permainan itu tidak memudaratkan. Pondok yang berhadapan dengan Bengkel Kemahiran Hidup menjadi tempat pilihan mereka. 

Loceng berbunyi menandakan waktu rehat sekolah telah tamat. Iman dan rakan-rakannya menghentikan permainan. Seperti biasa, Iman dan Mawaddah akan ke koperasi sekolah untuk membeli minuman bagi menghilangkan dahaga. 

Cikgu Zaleha, guru matapelajaran Sains melangkah masuk ke kelas. Nabil, selaku ketua kelas 6 Bestari memberi salam tanda menghormati guru diikuti pelajar lain. Sewaktu sesi matapelajaran Sains hendak dimulakan, Cikgu Zaleha sempat bertanyakan keadaan Iman kerana dia juga merupakan saksi insiden Iman malam tadi. Cikgu Zaleha memang terkenal dengan sifat prihatinnya terhadap anak-anak muridnya. Maka, tidak hairanlah ramai pelajar selesa mendekatinya. 

“Nanti, saya nak kamu semua buat latihan dalam set soalan percubaan tahun lepas ya. Kamu jangan ambil mudah dengan peperiksaan percubaan ini. Ini merupakan alat pengukur kamu untuk melihat sejauh mana kamu semua telah bersedia untuk menghadapi ujian yang sebenar. Saya harap kamu semua dapat lakukan yang terbaik. Kamu merupakan abang-abang dan kakak-kakak paling senior di sekolah ini. Tambah pula, kamu semua menduduki kelas yang sentiasa menjadi harapan sekolah. Jadi, saya harap kamu semua tidak menghampakan harapan sekolah”, panjang lebar Cikgu Zaleha memberi amanat kepada pelajar-pelajarnya yang mana telah menjadi tugas setiap insan yang bergelar guru. Sebulan sahaja lagi masa yang tinggal sebelum menjelang peperiksaan percubaan mereka. Pelajar kelihatan semakin giat mengulangkaji kerana bimbang markah peperiksaan akan merosot sekaligus akan mempengaruhi keputusan mereka untuk diterima belajar di Sekolah Berasrama Penuh. 

*******************************************

Ujian percubaan telah selamat dijalankan selama tiga hari. Semua pelajar berdebar menantikan keputusan ujian tersebut daripada guru masing-masing. Sudah menjadi satu kelaziman bagi Iman dan rakan-rakannya untuk mengorek rahsia markah ujian sebelum yang lain. Selalunya, Iman akan lebih merendah diri kerana dia sedar markahnya pasti tidak sebaik rakan-rakannya yang lain. Satu persatu guru mereka diserang untuk mendapatkan markah. Mereka berlima bersaing secara sihat. Nabil dan Qistina sering bersaing untuk merebut kedudukan tempat pertama di dalam kelas mereka. Tiada yang dapat menandingi untuk merampas takhta mereka. 

“Man, sini!” sahut Adah. Iman yang dari tadi sibuk membelek hasil lukisan adik-adik Tahun 4 dalam pertandingan melukis poster tahunan tersentak. 

“Apa kau ni? Kejaplah.” Iman masih belum puas melihat hasil karya adik-adiknya itu. Teringat akan dirinya yang gemar melibatkan dirinya dalam pertandingan tersebut sehingga mewakili sekolah dalam pertandingan melukis sewaktu dia di Tahun 4 dan Tahun 5. 

“Ala.. lukisan tu kejap lagi boleh tengok. Sini la. Kau mesti terkejut punya. Kau mesti tak sangka. Hebat lah kau ni. Pertama kali aku tengok ada orang tewaskan Qis”, mata Mawaddah masih tertumpu pada buku rekod markah ujian milik Cikgu Zaleha. Iman hairan. Apa sebenarnya yang Mawaddah merepek? Tewaskan Qistina? 

Iman bangun dari kerusi tetamu dan berjalan ke arah Mawaddah. Matanya meneliti namanya untuk mengetahui apa yang direpekkan rakannya itu. Nurul Iman binti Mirzad. 94 peratus? Aku? Sains? Bagaikan tidak percaya, itu markah yang diperolehinya dalam matapelajaran Sains pada Ujian Percubaan UPSR baru-baru ini. Tidak lama, dia mencari nama Qistina Basyirah binti Abdul Muiz. 88 peratus? Ya Allah. Biar betul? Matanya terbeliak. Detik hatinya, sekiranya hal ini diketahui oleh Qistina, pasti gadis itu akan bermasam muka dan membuat perangai pelik dek kerana ada markah orang lain yang lebih tinggi daripadanya. Tetapi, itu usaha dan tawakkalnya. Jika itu rezeki buat aku, Alhamdulillah. Kenapa nak bersedih? Takut hilang kawan? Ah! Mustahil! 

Iman berjalan masuk kelas dengan gaya yang selamba, seperti tiada apa-apa yang berlaku. Seperti yang dijangka, Qistina mula tidak bercakap dengannya malah mengasarinya. Iman sabar. Dia faham apa yang telah berlaku. Selama enam tahun mereka berteman, bagaikan sudah dapat dibaca perangai rakan-rakannya. Bak kata pepatah Melayu, sekilas ikan di laut, sudah tahu jantan betinanya. Namun, Iman masih berkelakuan seperti biasa dan bercakap dengan Qistina biarpun rakannya itu sudah memberikan respon yang agak kurang menyenangkan. Mawaddah, Nabil dan Syuhada sedari tadi memerhati kelakuan Qistina terhadap Iman. Mereka seperti sudah dapat membaca Qistina yang lagaknya seperti ‘bom jangka’. Mawaddah memberi isyarat kepada Iman supaya jangan dipedulikan angin Qistina sebelum ianya melarat. 

Kelas malam matapelajaran Sains pada hari Ahad berjalan seperti biasa. Semua murid hadir untuk mengetahui markah ujian mereka kerana Cikgu Zaleha telah berjanji bahawa markah ujian dan kertas ujian akan diketahui serta diedarkan pada malam ini. 

“Okay. Semua dah dapat kertas ujian masing-masing kan? Saya cukup berpuas hati dengan markah ujian kamu. Ternyata kamu semua telah menunjukkan peningkatan yang baik dalam peperiksaan kamu baru-baru ini. Saya harap kamu dapat mengekalkan prestasi itu. Oh ya! Saya dan cikgu-cikgu yang lain cukup berbangga dengan peningkatan prestasi seorang pelajar kelas ini. Siapa sangka Nurul Iman yang nakal ni menempah nama dalam Pelajar Harapan Sekolah UPSR 2004 dengan pencapaian 5A dalam ujian percubaan baru-baru ini. Siapa sangka? Saya rasa dia sendiri pun tak sangka. Betul Iman? Saya gembira. Pencapaian macam ni la yang sangat diharapkan kepada semua pelajar. In shaa Allah. Pasak niat betul-betul. Usaha, doa dan tawakkal. Allah pasti beri petunjuk. Allah tidak akan mengubah nasib seseorang hamba-Nya sekiranya hamba-Nya itu tidak mengubah nasibnya sendiri. Sekarang, mari kita bincang kertas ujian.” Begitulah Cikgu Zaleha yang tidak lekang dengan senyuman dan tidak pernah kenal erti penat dalam memberi tunjuk ajar dan kata-kata semangat untuk pelajar-pelajarnya untuk memastikan mereka menjadi insan yang berguna kelak. 

Qistina yang dari tadi asyik memandang Iman kerana masih geram dan tidak berpuas hati tentang markah ujian Sains itu terus memerli Iman, “Ala Iman tu lepas ni dah tak payah belajar dah cikgu. Rasanya tak perlu kot kita nak bincang dah kertas ujian. Kan Iman?” Qistina melemparkan senyuman sinis kepada Iman. 

Kelakuan itu sangat tidak disenangi oleh Iman namun dia tenang menjawab kerana ingin menjaga hati sahabatnya itu, “Ala, sekali je dapat tinggi, takkan aku dah nak show-off kot. Lain lah kau dengan Nabil, pelajar yang selalu dapat anugerah. Ala rilekslah Qis. Tak kemana pun markah ni. Bukan boleh bawa masuk kubur pun.” 

Mawaddah, Nabil dan Syuhada serta pelajar yang lain hanya mampu tersenyum mendengar jawapan yang keluar dari bibir mungil Iman. Qistina mendengus geram dan terus terdiam. Kelas berjalan seperti biasa. Cikgu Zaleha menerangkan kesalahan-kesalahan yang kerap dilakukan oleh pelajar dengan jelas. Pelajar-pelajar 6 Bestari semakin fokus memberi perhatian tentang apa yang diterangkan oleh Cikgu Zaleha. 

Seperti biasa, Akie akan menjemput Iman dari kelas tambahan malam. Iman tidak sabar untuk menyampaikan berita gembira ini kepada datuknya. Setibanya Iman di hadapan datuknya, dia terus membuka bicara tanpa memberi signal terlebih dahulu iaitu salam dek kerana perasaannya yang terlalu gembira. 

“Akie! Hari ni Iman ada berita happy untuk Akie. Nak tahu?” senyum lebar Iman membuatkan datuknya juga sudah tidak sabar mendengar pekhabaran dari cucunya itu. 

“Amboi, dia punya senyum sampai ke telinga! Apa dia?” datuknya tercuit hati melihat keletah cucunya yang lagaknya tak ubah seperti anak kecil. 

“Iman dapat 5A! 5A Akie! Fuh! Rasa macam mimpi je. Terima kasih Akie sebab selalu doakan Iman. Sayang Akie sangat!” dipeluk erat datuknya tanpa disedari ada air mata yang mengalir jernih. Sewaktu di atas motorsikal milik datuknya menuju pulang, Iman tidak melepaskan pelukannya. Aneh. Ada satu perasaan asing yang hinggap di hatinya waktu itu. Dia tidak pasti. Iman mula berfikir bukan-bukan. Namun, sangkanya itu cuma perasaannya sahaja. Pelukan itu semakin kuat. 


*************************************

“Iman! Cepat breakfast! Nanti lambat! Hari ini ayah hantar kamu.” Jerit Mama Zara dari dewan makan keluarga Encik Mirzad. Iman yang tadinya melangkah laju tiba-tiba menghentikan langkahnya. Ayah hantar? Mana Akie? Getus hatinya yang tidak berapa senang sekiranya ditumpangi ayahnya ke sekolah. Dia lebih selesa jika datuknya yang menghantarnya ke sekolah. 

“Mama. Erm Akie mana? Kenapa hari ni Iman kena tumpang ayah?” Iman cuba memberanikan dirinya bertanya kepada ibunya tentang datuknya. 

“Akie tak sihat. Kamu dah dapat markah ujian? Macam mana?” Mama cuba mengalih perbualan kepada topik lain. 

“Alhamdulillah. Iman dapat 5A. Cikgu puji Iman semalam sebab tak sangka budak nakal macam Iman ni boleh dapat result macam tu.” Iman menjawab hambar namun hakikat fikirannya ligat memikirkan keadaan datuknya. Akie sakit? Sakit apa? 

“Wah! Tahniah! Kan ayah dah kata anak ayah boleh buat. Iman nak apa sebagai hadiah?” Encik Mirzad berbangga mendengar pencapaian ujian anaknya. Dapatlah dia canangkan berita ini kepada teman-temannya yang lain. Perkara ini bukan baru dalam kalangan teman-temannya untuk membanding-bandingkan pencapaian anak masing-masing. 

Iman menggeleng. “Tak pa lah. Iman tak nak apa-apa.” Iman melemparkan senyuman hambar kepada ayahnya padahal hatinya terdetik. Kalaulah Iman rapat dengan ayah macam orang lain. Iman cuma nak perhatian seorang ayah. Tapi tugas itu telah diambil alih oleh Akie. Terima kasih ayah. 

Suasana di dalam kereta di sepanjang perjalanan ke sekolah sunyi. Hanya bunyi radio yang memecah kesunyian di antara mereka. Sesekali ayahnya bertanyakan Iman soal pelajarannya. Iman hanya berbasa-basi. Tiba di perkarangan sekolah, Iman menyalami tangan ayahnya. Walaupun jauh di dalam hatinya, perasaan benci kepada ayahnya masih bersarang. Namun, dia tidak sekejam itu untuk bersikap kurang ajar dengan seorang lelaki yang bergelar ayah. Ayahnya tidak menuturkan apa-apa. Malah menciumnya jauh sekali. Iman berlalu. Tidak seperti anak-anak lain yang dipeluk cium oleh ibu bapanya tanda meminta restu untuk menimba ilmu. Wang perbelanjaan sekolah, ayahnya sudah memberikannya pada setiap awal bulan untuk Iman perbelanjaan seharian selama sebulan. Jadi, fikir ayahnya apa lagi yang dimahukannya kerana dirumahnya lengkap disediakan segalanya. 

Iman sedih memikirkan nasibnya. Dia sebenarnya dahagakan kasih sayang seorang ayah. Mama? Sejak ayahnya itu bermain kasih dengan perempuan lain, layanan Mama sudah tidak sama. Bukan sahaja terhadap ayah, tetapi dia juga sama. Iman menjadi mangsa keadaan keluarganya. Namun, dia tidak pernah sekalipun menceritakan hal ini kepada sesiapapun. Bahkan, teman-temannya menyangka bahawa Iman hidup di dalam sebuah keluarga yang sempurna. Sempurnakah kalau anak diabaikan tanpa sentuhan kasih sayang? Kemewahan tidak dapat membeli nilai sebuah kebahagiaan. 

“Aqil, aku nak balik rumah la. Dah malam ni. Nanti Mama aku bising!” 

“Ala. Awal lagi. Baru 6.30 petang. Kecoh la minah ni. Dah la. Pergi la balik. Esok kau jangan join team bola sepak ni la. Nak dating pergi macam tu je.” 

“Eh, yang kau emosi sangat ni apahal? Aku balik rumah aku. Bukan tak ada hari esok pun kan?” 

Iman high-five rakan-rakannya tanda bersurai. Penat dia mengayuh basikal yang dihadiahi ayahnya dua tahun lepas sempena hari jadinya yang ke-10. 

“Eh, Pak Uda datang rupanya.” Iman tidak mengetahui akan kehadiran pak cik saudaranya itu ke rumah. 

“Macam mana saya tak sedih, kak. Setiap hari saya jaga makan minum dia dengan Iman. Kurang lagikah apa yang saya dah korban untuk dia? Saya sanggup berhenti kerja semata-mata nak jaga dia dengan Iman dengan penat lelah saya sendiri. Tapi ini balasan yang saya dapat?” Langkah Iman terhenti disebalik pintu utama rumahnya. Hatinya bagai direntap. Mama menangis? Kenapa? Kedatangan pak cik dan makciknya ke rumah bagai ada sesuatu yang tidak kena. 

“Benda dah jadi, Zara. Akak pun tak sangka yang Mirzad tu perangai dia sampai macam tu sekali. Sanggup dia buat kau macam ni. Lelaki bila dah berduit sikit, macam tu lah.” Mak Uda cuba memujuk Mama yang tidak henti menangis dari tadi. Hati isteri mana yang tidak hancur jika cinta yang dibina digadai demi orang ketiga. 

“Saya tidak akan pernah bersetuju untuk bermadu. Jika dia mahu bernikah dengan perempuan lain, ceraikan saya. Saya tak sanggup. Saya akan bawa Iman sekali. Saya tak nak anak saya berada dalam jagaan perempuan yang bukan ibu kandungnya sendiri. Saya tak ingin berkongsi apa pun!” Mama Zara semakin emosi memikirkan perangai suaminya yang sanggup menduakannya. Tanpa sedar, Iman yang sedari tadi berada di sebalik pintu, turut menitiskan air mata mendengar perbualan antara Mama dengan mak ciknya. Dia tidak pernah menyangka bahawa ayahnya yang begitu baik terhadap Mama sanggup berkelakuan sebegitu rupa. Iman terus mencapai basikalnya lalu dikayuhnya basikal itu sekuat hati menuju pantai. Semua mata yang berada di dalam banglo mewah itu tercari-cari kelibat Iman di luar perkarangan tempat letak kereta. Apakah Iman sudah mendengar semuanya? 

Iman melepaskan nafsu amarahnya. Dia menjerit sekuat hati. Kenapa ayah? Kenapa semua ini terjadi pada keluarga aku? Aku benci ayah! Aku benci ayah! Aku benci! Airmatanya tidak henti mengalir sejak dia lari daripada rumahnya tadi. 

Dia merenung jauh ke laut. Ombak yang menghempas pantai terasa begitu tenang dan mendamaikan. Dia merebahkan badannya. Kepalanya didongak ke langit. Dia menutup mata. Fikirannya kembali memainkan kotak memori bersama Mama dan ayahnya sebelum semua perkara ini terjadi. Betapa keluarganya bahagia ketika itu. Namun, itu semua kenangan. Apa yang kanak-kanak seusianya tahu akan pergelutan emosi seperti itu? Itu adalah zaman di mana dia seharusnya merasa gembira untuk melayari zaman kanak-kanak tanpa memikirkan masalah orang dewasa. Tapi bukan Iman.

“Ceraikan saya!” jerit Mama Zara kepada Encik Mirzad. 

“Tidak! Saya tidak akan ceraikan awak! Oh ya! Kalau saya ceraikan awak, awak boleh lari dengan Iman ya? Jangan harap saya akan lepaskan Iman dalam tangan awak. Dia anak saya!” bentak Encik Mirzad. Seperti biasa, Iman akan keluar dari rumahnya itu apabila berlaku pertengkaran di antara Mama dan ayahnya. Kalau dia tidak ke gerai rakannya ataupun di padang bersama kanak-kanak yang lain, pasti dia akan ke pantai mendengar bunyi ombak yang pada fikirannya dapat mententeramkan jiwanya yang tengah kusut. Pantai dan dirinya seperti sahabat baik. Di situlah segala rahsia tentang dirinya tersimpan. Dia ceritakan segalanya kepada alam. Dia tenang begitu. 

Hatinya menjadi semakin keras dek kerana kejadian itu. Dia tidak lagi senyum dan ketawa apabila dia pulang ke rumah. Rumah itu bagaikan hotel yang dia boleh keluar masuk sesuka hati. Sebelum ini, rumah itu ada Kak Ita, pembantu rumahnya. Dapatlah juga Iman berborak untuk melepaskan rasa bosan. Sayangnya, Kak Ita sudah pulang ke Indonesia untuk melansungkan pernikahan dengan lelaki yang selalu diceritakan oleh Kak Ita kepadanya. Kini, hanya mereka bertiga di dalam rumah itu kerana Mama sudah tidak mahu mengambil khidmat pembantu rumah. Ah! Aku rindu kau, Kak Ita! 

“Man! Man!” panggilan Adah masih tidak diendahkan. Pada fikiran rakannya itu, kelihatan Iman seperti ada yang tidak kena. 

“Nurul Iman binti Mirzad! Hoi! Kau kenapa? Jauh termenung aku tengok dari tadi makanan tu tak terusik. Kau ada masalah ya? Ceritalah.” Adah merangkap teman rapatnya di sekolah itu seperti sudah dapat meneka riak wajah Iman. 

“Oh. Tak ada apa-apa lah. Aku okay. Aku penat sikit je. Dah nak habis waktu rehat rupanya. Em kau orang makanlah. Aku naik dulu ya. Jumpa kat kelas nanti.” Iman cuma berbasa-basi menjawab pertanyaan Adah. Empat pasang mata melirik ke arahnya. Kenapa dengan Iman tu? 

“Adah, kau rasa kenapa dengan Iman tu ek? Aku tengok semacam je. Macam ada masalah je.” Ujar Nabil. 

“Entah. Pelik. Tak pernah dia macam ni sebelum ni. Tadi pagi pun aku tengok ayah dia yang hantar. Dah la markah ujian bukan main meletop. Agaknya sebab itu kot dia dating dengan ayah dia. Hurm. Tapi tak ada riak happy lansung.”Adah cuba meneka apa yang sebenarnya berada di dalam kotak fikiran rakan baik mereka itu. Perasaan aneh menjengah dihati teman-teman rapatnya. 

“Kau cubalah tanya-tanya dengan dia. Mana tahu dia nak cerita. Aku bertiga ni tak rapat macam kau. Nak harapkan Qis memang tak lah. Sampai kiamat pun tak, kan Qis?” ketawa mereka pecah dek kerana sindiran Nabil. 

“Eh, cepatlah makan. Waktu dah nak habis ni. Kejap lagi loceng bunyi.” Syuhada yang sedari tadi membungkam cuba bersuara. Mereka terus menghabiskan sisa makanan yang terakhir sebelum meneruskan sesi pembelajaran. 

Puan Jamilah selaku guru Matematik kelas 6 Bestari melangkah masuk ke kelas. Semua pelajar berdiri tanda memberi hormat diikuti salam. Iman masih terpaku pada kerusinya. Fikirannya masih diganggu dengan peristiwa dua tahun dahulu. Ianya masih segar di ingatan seakan baru semalam peristiwa itu berlaku.

“Iman! Nurul Iman! Bangun! Yang lain duduk.” arah Puan Jamilah yang lebih mesra dipanggil Cikgu Jamilah. Iman hanya menurut arahan kerana dia sedar itu akibat daripada kesilapannya sendiri kerana tidak fokus. 

“Kamu berkhayal ya? Kamu kenapa? Ini waktu pembelajaran. Sekalipun kamu ada masalah, tidak sepatutnya kamu heret masalah kamu sewaktu di dalam kelas. Nanti kamu hilang fokus. Exam kan dah tinggal berapa lama sahaja lagi. Sebagai denda, saya nak kamu selesaikan soalan ni. Saya nak jalan kira yang tepat di papan hitam.” arah Cikgu Jamilah. 

“Maafkan saya, cikgu.” Iman yang dari tadi tercegat di tempat duduknya berjalan ke arah papan hitam di hadapan kelas menurut arahan. Soalan itu diselesaikan olehnya seperti yang diminta Cikgu Jamilah. 

“Baik. Kamu boleh duduk.” Cikgu Jamilah hanya memerhati Iman yang sedikitpun tidak ada riak tenang di wajahnya. 

“Terima kasih, cikgu.” Iman berjalan menuju ke tempatnya bersebelahan dengan Adah. Adah serta rakan-rakan yang lain hanya memerhati gerak geri Iman. Seperti ada yang betul-betul tidak kena pada diri rakan mereka. 

Sesi pembelajaran berjalan seperti biasa. Loceng tamat persekolahan pun berbunyi. Pelajar sudah tidak sabar untuk pulang ke rumah kerana sudah penat seharian mencurah keringat otak di sekolah. Kedengaran anak-anak berlari di koridor kelas kegembiraan. Pasti makanan sudah tersedia oleh ibu masing-masing menunggu anak mereka pulang dari sekolah. 

Iman tanpa berlengah, mengemas buku-bukunya. Dia kelihatan tergesa-gesa. Tidak sempat Adah, Nabil, Qistina dan Syuhada menyapanya seperti selalu. Mereka bertambah hairan dengan kelakuan Iman. Apa yang sudah berlaku sebenarnya? 

*****************************************

Memandangkan jarak sekolah dengan rumah datuknya hanyalah 200 meter, Iman tekad untuk menziarahi datuknya. Dia tidak peduli jika dia harus berjalan kaki meredah terik matahari. Asalkan dia tiba di tempat yang ingin ditujunya. Kenapa Akie tak datang ambil Iman hari ini? Akie sakit apa? 

“Assalamu’alaikum. Akie! Mak Tok! Iman datang!” jerit Iman yang masih berpakaian sekolah. Sudah tentu neneknya sudah dapat meneka cucunya pasti dari sekolah. 

“Wa’alaikumussalam wrahmatullahi wabarakatuh. Ya Allah, Iman! Bertuah betul budak ni. Sampai ke sini dia. Mana Mama?” Mak Tok menyapa cucunya. 

“Tak adalah. Iman datang sendiri. Iman jalan kaki tadi. Boleh tahan panas juga ya. Hahaha. Nak air boleh Mak Tok?” Iman sempat bergurau dengan nenek kesayangannya. 

“Memanglah panas. Dah kamu yang nak jalan sendiri. Rasakan. Ya, boleh. Nak air ke. Nak makan ke. Semua boleh. Nanti Mak Tok sediakan. Kamu pergi mandi dulu.” 

“Baik, Mak Tok. Em Akie mana? Kenapa Akie tak datang ambil Iman hari ni?” Iman bertanyakan keberadaan datuknya dengan nada yang sedikit sedih. 

“Akie tak sihat. Pagi tadi batuk-batuk. Nak bangun solat pun susah.” Neneknya mengerti. Dia cuba menjelaskan keadaan suaminya kepada cucu kesayangannya itu. Dia sedar cucunya begitu rapat dengan suaminya. Maklumlah, Iman cucu tunggal keluarga itu. Jadi, tidak hairanlah suaminya menatang Iman bagai minyak yang penuh. Hampir segala permintaan Iman dituruti suaminya. 

“Oh. Macam tu ke? Hurm. Tak apalah. Mak Tok suruh Akie rehat je tau. Kelas malam ni, Iman boleh pergi dengan kawan-kawan Iman. Iman kan ada basikal.” Iman berasa sedikit kasihan. Dia tidak mahu membebankan datuknya dengan keadaan yang tidak mengizinkan. 

“Ya. Kamu hati-hatilah ya. Malam-malam pulak tu. Kamu tu perempuan. Bukan jantan.” Neneknya menasihati cucunya dengan nada yang melawak. Iman tersentak dengan apa yang diperkatakan neneknya sebentar tadi. Jantan? Ketawa mereka kedengaran memecah kesunyian rumah itu. Sememangnya kalau dia berkampung di rumah nenek dan datuknya itu, pasti dia akan bermain dengan anak-anak lelaki kampung itu. Mungkin kerana itu, neneknya bergurau sedemikian. Dia juga tidak ambil hati kerana itu memang hakikatnya. Dia sedar akan hakikat abadi itu. Iman hanya tersenyum.